Teks Penuh Ucapan YAB Tan Sri Muhyidin Yasin, Timbalan Presiden UMNO semasa Perasmian Serentak Mesyuarat Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO 2012
YB Naib-Naib Presiden UMNO
YB Setiausaha Agung UMNO
Ahli-Ahli Majlis Tertinggi
Barisan Exco Wanita, Pemuda dan Puteri
Saudara-saudari sidang perwakilan dan para pemerhati sekalian.
1. Alhamdulillah, UMNO kini berada di persada 66 tahun usianya.
Negara kita telah merdeka 55 tahun adanya. Ia datang bersama sebuah
pemerintahan dari acuan negara sendiri, dari pimpinan anak watan sendiri.
Selama lebih enam dekad inilah, parti kita telah mengabdikan diri kepada anak
watan, mengubah keadaan, dari selubung kemunduran dan kemiskinan, kepada cahaya
kemajuan dan kemakmuran.
2. Kita bersyukur, kerana hasil gabungan kebijaksanaan rakyat memilih pemimpin
dan kebestarian pemimpin mengemudi negara, Malaysia kekal aman, makmur dan
sejahtera. Rakyat dari segala rentasan kaum dan agama hidup dalam suasana yang
harmoni, tanpa persengketaan, tanpa kemusnahan. Pada masa yang sama, kita
melonjak ke ambang negara maju dan melakar masa depan yang meyakinkan. Impian
kita, harapan kita, hanyalah membina negara Malaysia yang berjaya dari Perlis
hingga ke Sabah, dan sentiasa berada di bawah naungan Ilahi seperti yang
dipohon oleh Nabi Allah Ibrahim:
وَإِذۡ قَالَ إِبۡرَٲهِـۧمُ رَبِّ ٱجۡعَلۡ هَـٰذَا بَلَدًا ءَامِنً۬ا وَٱرۡزُقۡ أَهۡلَهُ ۥ مِنَ ٱلثَّمَرَٲتِ مَنۡ ءَامَنَ مِنۡہُم بِٱللَّهِ وَٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأَخِرِۖ
Yang bermaksud:
Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim berdoa dengan berkata: Wahai
Tuhanku! Jadikanlah (negeri Mekah) ini, negeri yang aman sentosa dan berikanlah
rezeki dari berbagai jenis buah-buahan kepada penduduknya, iaitu orang-orang
yang beriman kepada Allah dan hari akhirat di antara mereka.
(Surah Al-Baqarah, Ayat 126)
Saudara dan saudari yang saya hormati,
Politik Perkongsian Kuasa
3. Menghimbau 55 tahun yang lalu, Malaysia berada dalam situasi
yang hampir sama seperti di Sri Lanka, Fiji dan Myanmar ketika negara-negara
ini berada di ambang kemerdekaan. Kesemuanya adalah bekas tanah jajahan British
yang mempunyai penduduk berbilang kaum dan agama. Apabila British terdesak
untuk melepaskan penguasaan ke atas tanah-tanah jajahan mereka, perkara utama
yang menjadi persoalan ialah siapakah selain bangsa pribumi yang berhak
mendapat hak kerakyatan, bangsa manakah yang akan menerajui pemerintahan negara
baru itu, dan apakah bentuk negara yang mahu dibina.
4. Kecuali di Myanmar, negara-negara ini memilih model politik
perkongsian kuasa antara kaum. Di Sri Lanka, etnik Sinhalis dan Tamil bersetuju
untuk berkongsi kuasa. Namun, persetujuan untuk berkongsi kuasa sahaja tidak
menjamin keamanan dan kestabilan politik yang berkekalan. Perbalahan kaum
tercetus di Sri Lanka selama beberapa dekad selepas merdeka, sehingga membawa
kepada rusuhan, perang saudara, kemusnahan dan kemunduran.
5. Di Fiji, etnik imigran yang ibu bapa mereka berhijrah ke negara
itu semasa penjajahan British telah diberikan hak kerakyatan apabila Fiji
mencapai kemerdekaan pada tahun 1970. Dengan hak kerakyatan, mereka juga
mempunyai hak yang sama dengan Bumiputera Fiji untuk terlibat dalam politik dan
ekonomi. Malangnya, kerana tidak ada usaha untuk meratakan padang permainan,
Bumiputera Fiji yang lebih mundur memberontak sehingga menyebabkan perbalahan
dan rampasan kuasa.
6. Lebih malang di Myanmar, etnik minoriti Rohingya yang berhijrah
ke negara itu semasa penjajahan British tidak diberikan hak kerakyatan
langsung. Tanpa hak kerakyatan, mereka tidak mempunyai hak untuk terlibat dalam
politik, apatah lagi untuk berkongsi kuasa dengan kaum majoriti. Walaupun
Myanmar telah merdeka selama 64 tahun, etnik Rohingya yang beragama Islam
dilayan dengan begitu teruk sekali. Mereka tidak dibenarkan bekerja dengan
kerajaan dan anak-anak mereka dihalang daripada bersekolah di sekolah kerajaan.
Hatta untuk mendapatkan rawatan di hospital pun mereka menghadapi kesukaran.
Tidak cukup dengan itu, rumah-rumah mereka dibakar, tanah-tanah mereka dirampas
dan keluarga mereka dihalau keluar dari bumi Myanmar. Bagi orang Rohingya, bumi
yang mereka pijak ibarat neraka dunia.
Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,
KEBIJAKSANAAN POLITIK UMNO: MUAFAKAT UNTUK BERKONGSI KUASA
7. Alhamdulillah, kita di Malaysia tidak mengalami krisis politik
dan perkauman yang parah seperti yang dialami di negara-negara lain, walaupun
kita mempunyai lebih banyak bangsa, kaum dan suku kaum. Negara kita dipagari
daripada malapetaka besar yang menggugat keselamatan dan kesejahteraan rakyat.
Dengan izin Allah s.w.t kita dapat hidup dalam suasana yang aman, stabil dan
makmur hingga ke hari ini.
8. Kesemua ini pastinya tidak terjadi dengan sendiri. Sudah
tentulah ada sebab musabab yang menjadikan negara kita kekal aman, makmur dan
sejahtera. Sebab yang utama ialah kebijaksanaan pemimpin kita terdahulu memilih
acuan politik perkongsian kuasa yang berteraskan semangat persefahaman,
pemuafakatan, setiakawan dan tolak ansur antara parti-parti politik yang
mewakili pelbagai kaum sewaktu itu, iaitu UMNO, MCA dan MIC. Apabila Barisan
Nasional dibentuk pada tahun 1974, muafakat kita semakin kukuh dengan lebih
banyak parti-parti yang mewakili pelbagai etnik dan suku kaum bergabung,
termasuk dari Sabah dan Sarawak.
9. Sepanjang lima dekad pemerintahan Barisan Nasional, muafakat
yang dicapai untuk memerintah negara secara bersama tidak pernah kita ingkari.
Janji untuk bekerjasama dan berkongsi kuasa tidak pernah kita nodai. Prinsip
ini sentiasa kita pupuk dan suburkan, dan kini menjadi pasak kekuatan Barisan
Nasional.
10. Alhamdulillah, meskipun ada kalanya kita diduga dengan
pelbagai cabaran dan tuntutan, meja rundingan Barisan Nasional sentiasa dapat
menawarkan penyelesaian kepada semua perkara yang berkait dengan kepentingan
semua kaum. Kerana itu Malaysia kekal aman, stabil dan makmur hingga ke hari
ini.
11. Meskipun begitu, bagi puak yang keras dan melampau dalam
pemikiran dan tindakan politik, mereka sentiasa mengapi-apikan semangat
perkauman dan agama yang sempit bagi menagih laba politik. PAS sebagai contoh
pernah menuduh UMNO sebagai parti sekular, parti taghut, parti mustakbirin,
parti fir’aun, parti kafir semata-mata kerana kita bekerjasama dengan
rakan-rakan bukan Islam dalam Barisan Nasional.
12. Begitu juga dengan MCA, MIC dan parti-parti komponen lain
dalam Barisan Nasional. Apabila mereka menerima pendirian UMNO dalam perkara
yang berkait dengan kepentingan orang Melayu, DAP dengan cepat menuduh mereka
sebagai parti yang lemah, atau parti pak turut yang sanggup menggadai
kepentingan kaum bukan Melayu, semata-mata untuk mengecap nikmat kuasa bersama
UMNO. Malah, DAP menuduh UMNO sebagai parti rasis dan parti ultra-Melayu,
semata-mata untuk membangkitkan kebencian orang bukan Melayu terhadap UMNO dan
Barisan Nasional.
13. Sebenarnya saudara-saudari, PAS dan DAP berbuat begitu
semata-mata untuk menarik sokongan kaum tertentu kepada parti mereka. PAS
menggunakan sentimen agama yang sempit untuk menghasut orang Melayu membenci
UMNO dan menyokong mereka. DAP pula menggunakan sentimen perkauman yang
melampau untuk menghasut orang bukan Melayu membenci MCA, MIC, Gerakan dan
parti-parti lain dalam Barisan Nasional, supaya orang bukan Melayu menyokong
mereka. Semuanya ini dilakukan atas dasar kepentingan politik yang jumud dan
politik serakah, tanpa mengira kesannya ke atas perpaduan masyarakat berbilang
kaum dan agama di negara kita.
14. Hakikatnya, sejak lebih lima dekad yang lalu, parti yang
membawa fahaman politik benci dan fitnah, yang membakar sentimen agama dan
perkauman bukannya UMNO, bukannya MCA, bukannya MIC, bukan juga parti-parti
komponen BN yang lain. Sebaliknya ia didalangi oleh PAS dan DAP. Merekalah yang
mengamalkan politik ultra perkauman dan membawa fahaman songsang mengenai agama
yang memecah belahkan masyarakat kita. Kononnya undi PAS masuk syurga,
sembelihan orang UMNO tidak halal, solat berimamkan orang UMNO tidak sah.
Malah, mereka sanggup mendoakan kehancuran bagi orang UMNO yang merupakan
saudara seagama mereka. Merekalah yang menyuburkan syak wasangka, merekalah
yang membarakan api fitnah, dan mereka jugalah yang membaja benih-benih
kebencian.
Sutera dilipat habis dicuci
Tersimpul kemas di dalam laci
Kalau hati berkarat benci
Terpacul di mulut nista dan caci
PEMBANGKANG TIADA PERSEFAHAMAN, TIADA MUAFAKAT
Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,
15. PAS dan DAP masih tebal dengan sentimen kaum dan agama. Mereka
masih sangat berbeza dari segi ideologi dan pendirian politik. Setelah
bertarung sesama sendiri, kini PAS dan DAP melakonkan sebuah pengkisahan
kerjasama politik yang cuba ditiru daripada kejayaan Barisan Nasional.
Hakikatnya, watak-watak dan pelakon utama semuanya mahu menguasai plot dan
jalan cerita, serta menjadi teraju. Sehingga ke hari ini PAS dan DAP sentiasa
bersengketa, bertelagah dalam tiap perkara, dan bercakaran kerana ideologi yang
jelas berbeza.
16. Mari kita lihat tiga senario di tiga buah negeri yang
diperintah oleh mereka. Di Pulau Pinang misalnya, DAP tidak mahu berkongsi
kuasa pun dengan PAS. Walaupun PAS mempunyai satu kerusi dalam Dewan Undangan
Negeri, wakil rakyat PAS sehingga kini tidak dilantik sebagai Exco Kerajaan
Negeri. DAP sebaliknya lebih rela menyerahkan portfolio agama kepada PKR.
Walhal, sebagai parti yang mengaku memperjuangkan Islam, wakil rakyat PAS lah
yang sepatutnya diberikan kepercayaan oleh DAP, untuk menjaga hal ehwal Islam
di Pulau Pinang. Nampaknya, DAP tidak percaya kepada PAS.
17. Di Kedah pula, wakil rakyat tunggal DAP tidak berada dalam
barisan Exco Kerajaan Negeri yang dikuasai oleh PAS. Hari ini, apabila kerajaan
PAS Kedah membuat peraturan atau dasar yang condong kepada Islam, yang
menentang bukannya wakil rakyat BN, tetapi DAP. Ini membuktikan bahawa DAP
bukan sahaja tidak mahu berkongsi kuasa dengan PAS, malah menentang dasar Islam
PAS.
18. Di Selangor, seorang Exco PAS dan Exco DAP pernah bertelagah
mengenai penguatkuasaan undang-undang Islam di negeri itu. Bagi parti DAP yang
sekular, bukan sahaja hudud tidak patut dilaksanakan, malah undang-undang
pencegahan maksiat yang termaktub dalam enakmen undang-undang Islam negeri juga
tidak wajar dilaksanakan. Akibat pertelagahan ini, Exco PAS berkenaan dipecat
dari Exco Kerajaan Negeri dan parti, dan portfolio agama Islam yang sebelum ini
dipegang oleh beliau, diambil alih oleh Menteri Besar dari PKR.
19. Ternyata, PAS hanya melukut di tepi gantang. PAS tidak
berkongsi kuasa dengan DAP dan PKR. Sebaliknya, kuasa yang sepatutnya diberikan
kepada PAS dirampas oleh DAP dan PKR. Sungguh malang bagi PAS. Bagai kisah si
lebai malang. Di sini tak dapat, di sana pun melepas. Bak kata orang Pulau
Pinang, Balik Pulau Bayan Lepas, Sini Terpelau Sana Terlepas. PAS berhempas
pulas menarik sokongan orang Melayu, tetapi akhirnya yang berkuasa ialah DAP
dan PKR. Bagi DAP dan PKR, PAS hanyalah kuda tunggangan, tukang sorak dan
tukang takbir untuk mereka merebut kuasa.
Saudara dan saudari,
20. Cuba kita bayangkan, jika sekarang pun PAS tidak mempunyai
tempat dalam pakatan pembangkang, apakah ada jaminan bahawa PAS boleh
menegakkan Islam menerusi pakatan pembangkang? Saya pasti saudara dan saudari
yang berada di dalam dewan ini, dan juga tuan-puan yang mengikuti ucapan saya
di luar sana, tahu apa jawapannya. Tidak mungkin PAS boleh menegakkan negara
Islam. Sebab itulah awal-awal lagi sekarang ini, PAS sudah mendendangkan lagu
negara berkebajikan, bukan negara Islam.
21. Selama ini pun PAS sedar, sepanjang 12 kali pilihanraya umum,
bilangan kerusi yang mereka tandingi kebanyakannya kurang separuh daripada
jumlah keseluruhan kerusi di Parlimen. Misalnya, dalam pilihanraya tahun 1969,
PAS bertanding di hanya 62 daripada 144 kerusi Parlimen, tahun 1990 bertanding
di 29 daripada 180 kerusi parlimen, tahun 1995 bertanding di 59 daripada 192
kerusi parlimen, tahun 1999 bertanding di 59 daripada 193 kerusi parlimen,
tahun 2004 bertanding di 85 daripada 219 kerusi parlimen, dan tahun 2008
bertanding di hanya 66 daripada 222 kerusi parlimen.
22. Ironinya, jika PAS menang di semua kerusi yang ditandingi
sekalipun, PAS tidak boleh membentuk kerajaan untuk menegakkan negara Islam
seperti yang dicanangkan. Apatah lagi, pencapaian terbaik PAS ialah memenangi
26 kerusi dalam pilihanraya umum 1999. Saudara-saudari, PAS hanya menang semua
kerusi yang ditandingi sewaktu berada dalam Barisan Nasional dalam pilihanraya
1974. Manakala, dalam semua pilihanraya yang lain, jumlah kerusi yang PAS kalah
lebih besar daripada jumlah kerusi yang dimenangi.
23. Berbeza dengan UMNO, sepanjang sejarah pilihanraya di negara
kita, jumlah kerusi yang kita tandingi dan menang dalam pilihanraya membolehkan
kita menjadi parti teras dalam kerajaan. Dengan kedudukan ini, UMNO mampu
melaksanakan dasar-dasar yang selaras dengan perjuangan parti berlandaskan
musyawarah dengan parti-parti komponen dalam Barisan Nasional.
24. Mungkin PAS akan mengatakan kepada kita tidak mengapa
bertanding sejumlah kerusi yang kecil, kerana nanti ahli-ahli parlimen PKR dan
DAP akan menyokong mereka untuk menegakkan Islam. Janganlah bermimpi di siang
hari. Janganlah berbohong kepada pengundi. Jauh panggang dari api. Takkanlah
DAP yang rasis lagi cauvinis, takkanlah PKR yang rosak lagi merosakkan, akan
menyokong usaha PAS untuk menegakkan Islam. Cukuplah. Cukuplah sepanjang 12
kali pilihanraya, 12 kali PAS berbohong kononnya parti itu berjuang untuk
menegakkan Islam. Janganlah kita biarkan PAS berbohong lagi untuk kali ke-13.
25. Dengan kedudukan PAS yang lemah, agak pelik bagi kita apabila
dalam Muktamar PAS baru-baru ini, ada perwakilan parti itu yang mencadangkan
Presiden mereka sebagai calon Perdana Menteri pakatan pembangkang. Seperti yang
kita jangka, DAP awal-awal lagi tidak bersetuju Presiden PAS menjadi calon
Perdana Menteri. Persoalannya, bolehkah Presiden PAS menjadi Perdana Menteri
jika jumlah kerusi yang ditandingi dan dimenangi oleh parti itu adalah kecil,
dan DAP pula tidak menyokong mereka? Tentu sekali jawapannya tidak boleh.
26. Jika tidak boleh, dan saya pasti mereka pun tahu ianya tidak
boleh, mengapa dikemukakan juga cadangan itu? Bagi kita ini menunjukkan bahawa
ahli-ahli akar umbi PAS tidak meletakkan kepercayaan kepada DAP atau PKR untuk
mengetuai pakatan pembangkang. Mereka tidak percaya kepada Lim Guan Eng. Mereka
tidak percaya kepada Lim Kit Siang. Mereka juga tidak percaya kepada Karpal
Singh. Mereka langsung tidak percaya kepada Anwar Ibrahim. Ini adalah satu
kegagalan besar bagi PAS dalam membentuk kerjasama dan berkongsi kuasa dengan
DAP dan PKR.
27. Sebenarnya saudara-saudari, konsep berkongsi kuasa tidak
pernah wujud dalam pakatan pembangkang. Mandat rakyat yang diberikan kepada
mereka dalam pilihanraya yang lalu untuk mememerintah beberapa buah negeri
adalah satu hikmah yang mendedahkan kepada kita bahawa mereka sebenarnya tidak
boleh bekerjasama dan berkongsi kuasa. Satu sebab yang paling utama ialah
tiadanya sikap saling mempercayai antara mereka. PKR tidak percaya kepada DAP,
DAP tidak percaya kepada PKR, dan kedua-dua DAP dan PKR tidak percaya kepada
PAS.
28. Cuba bayangkan saudara-saudari, jika masing-masing tidak
percaya antara satu sama lain, bolehkah pembangkang bermuafakat sesama mereka?
Bolehkah pembangkang memerintah negara dengan aman? Bolehkah pembangkang
membawa kesejahteraan kepada rakyat? Boleh atau tidak saudara-saudari? Jika
tidak jawapannya, pastikan kemenangan berpihak kepada kita dalam pilihanraya
nanti.|Jangan kita serahkan negara kita ini untuk diporak-perandakan oleh
pembangkang.
CABARAN IDEOLOGI: ISLAM, KEBEBASAN DAN DEMOKRASI
Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,
29. Kita sedang berhadapan dengan tentangan ideologi baru.
Kononnya atas nama kemunculan politik baru, politik pembebasan, politik global,
politik kuasa ketiga, wacana hak dan kebebasan individu mengatasi lingkungan
agama, budaya dan moral. Di kalangan parti-parti politik tertentu, mereka akan
mengutip apa sahaja ideologi yang memberi kelebihan kepada mereka, hatta
berkongsi ideologi songsang sekalipun.
30. Di peringkat antarabangsa, telah muncul kumpulan yang
memperjuangkan ideologi songsang yang berteraskan pemikiran sekular liberal
yang bertentangan dengan agama. Misalnya, kumpulan yang memperjuangkan hak
golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender yang dianggap sebagai kelompok
minoriti yang tertindas. Undang-undang negara yang hanya mengiktiraf
perkahwinan antara lelaki dan wanita dianggap oleh kumpulan ini sebagai tidak
adil, malah zalim kepada mereka.
31. Hari ini, mereka semakin berpengaruh. Banyak kerajaan menerima
tekanan supaya mengiktiraf hak golongan songsang untuk melakukan perkara yang
ditegah oleh agama. Mereka turut melobi supaya hak golongan songsang ini
dimasukkan dalam Deklarasi Hak Asasi Manusia Asean di Sidang Kemuncak Asean di
Phnom Penh baru-baru ini.
32. Alhamdulillah, Malaysia di bawah kepimpinan YAB Dato’ Seri
Mohd. Najib Tun Razak menolak keras cadangan ini, kerana bagi kita amalan yang
bertentangan dengan prinsip agama dan fitrah manusia tidak boleh dibiarkan
berleluasa. Bayangkan, apa yang akan terjadi kepada anak-anak kita, keluarga
kita, masyarakat kita dan agama kita jika amalan songang ini dibiarkan menular.
Kita bersyukur, negara-negara Asean lain bersetuju dengan pendirian Malaysia,
dan cubaan untuk mengiktiraf amalan yang bertentangan dengan prinsip agama,
moral dan fitrah manusia sebagai satu hak gagal.
Saudara-saudari yang saya hormati sekalian,
33. Di negara kita, ideologi songsang ini sudah menembusi benteng
politik pembangkang. Kerana itu, sejak akhir-akhir ini kita lihat pandangan
Ketua Pembangkang agak bercelaru. Satu ketika, beliau tanpa segan dan silu
mengeluarkan kenyataan bahawa undang-undang jenayah negara kita yang menghalang
perlakuan liwat adalah satu undang-undang yang kolot. Sedangkan kita semua tahu
bahawa perbuatan terkutuk itu ditegah oleh Islam, dan juga oleh agama-agama
lain. Jika undang-undang itu kolot, maka apakah Ketua Pembangkang hendak
mengatakan bahawa hukum Allah juga kolot? Janganlah kerana perlakuan songsang ini
dibenarkan di Barat, dan diterima sebagai hak asasi manusia oleh mereka, maka
dia pun turut hendak menghalalkannya.
34. Selain itu, baru-baru ini kita juga dikejutkan oleh kenyataan
seorang Naib Presiden PKR. Atas nama kesamarataan hak, beliau mengatakan orang
Melayu yang beragama Islam juga wajar diberikan hak kebebasan beragama,
sepertimana yang diamalkan oleh penganut-penganut agama lain. Sedangkan kita
tahu bagi umat Islam, seluruh kehidupan kita dipandu oleh syari’at Allah. Tidak
mungkin hak untuk murtad boleh terpakai untuk umat Islam.
Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,
35. Inilah sisi hodoh ideologi demokrasi dan kebebasan yang cuba
dibawa oleh pakatan pembangkang. Mereka cuba merungkaikan asas-asas agama Islam
yang telah terpahat kukuh di dalam al-Qur’an dan al-Sunnah. Perkara seperti ini
tidak pernah berlaku di negara kita sebelum ini. Tidak pernah ada pemimpin
Islam yang tergamak bersuara menghalalkan gaya hidup songsang dan murtad.
Tetapi hari ini, atas sebab ingin meraih undi dan merebut kuasa, lantaran
angan-angan mahu ke Putrajaya, semuanya boleh sahaja.
36. Inilah sebenarnya bahana besar yang dibawa oleh pembangkang.
Kita di dalam UMNO tidak boleh alpa. Ingatlah, UMNO adalah parti yang berjuang
untuk menegak dan mendaulatkan Islam. Bangkitlah menjadi benteng mempertahankan
masyarakat kita daripada diasak oleh ideologi songsang pembangkang. Jangan
biarkan mereka menembusi jiwa anak-anak kita. Jangan biarkan mereka meracuni
pemikiran masyarakat kita. Jangan biarkan mereka merungkai asas-asas agama
kita. Kita yakin rakyat akan terus bersama UMNO dan Barisan Nasional untuk
mempertahankan nilai-nilai murni yang cuba dinoda oleh pembangkang.
Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,
37. Walaupun pembangkang menjanjikan bulan, bintang, matahari dan
cakerawala apabila bercakap mengenai demokrasi dan kebebasan, mereka tidak
mengotakan apa yang janjikan. Seperti yang disimpulkan dengan begitu tepat
sekali oleh YAB Presiden, antara sisi hodoh budaya pembangkang ialah bila
berhutang tak perlu dibayar, bila menerima tak perlu berterima kasih, bila
berjanji tak perlu ditepati. Jika saudara-saudari ingat, dalam manifesto
pembangkang dahulu, tercatat janji untuk memberikan bermacam-macam kebebasan
kepada rakyat kalau mereka berkuasa, termasuk janji kebebasan media.
38. Namun, belum pun sempat mereka berkuasa, pembangkang telah
awal-awal lagi memungkiri janji mereka. Hari ini, apabila ada akhbar yang
mendedahkan kepincangan mereka, mereka bergegas ke mahkamah menyaman akhbar
berkenaan. Jumlah saman bukannya sedikit. Misalnya, nilai saman mereka ke atas
sebuah akhbar arus perdana sejak tahun 2008 mencecah 1 bilion ringgit. Dengan
jumlah sebesar ini, pembangkang di negara kita mencipta rekod dunia
mengemukakan jumlah saman yang paling besar kepada sebuah akhbar.
39. Mereka berharap akhbar-akhbar di negara kita tidak lagi berani
mendedahkan hakikat kepincangan dan keburukan mereka. Selain itu, pembangkang
juga menghalang akhbar-akhbar tertentu daripada membuat liputan di
majlis-majlis yang dianjurkan oleh mereka, termasuk di sidang-sidang Dewan
Undangan Negeri. Inilah sebenarnya taktik kotor pembangkang untuk menutup
kepincangan dan membisukan pengkritik mereka.
40. Inilah wajah sebenar pembangkang. Apabila terkena batang
hidung sendiri, mereka lupa janji, lupa diri, lupa segalanya. Lebih memalukan,
mereka lupa bahawa merekalah yang menabur fitnah ke serata dunia bahawa
mahkamah kita tidak adil, mahkamah kita berat sebelah, mahkamah kita zalim.
Tetapi apabila terdesak, merekalah orang yang paling awal berkejar ke mahkamah
untuk mendapatkan perlindungan. Sebenarnya mereka tahu bahawa mahkamah kita
boleh memberikan keadilan kepada sesiapa sahaja termasuk mereka. Tetapi kerana
niat jahat mereka untuk memberikan gambaran buruk tentang negara kita kepada masyarakat
antarabangsa, mereka sanggup menabur fitnah.
41. Samalah juga dengan tindakan Ketua Pembangkang meminta
campurtangan kerajaan asing untuk memastikan pilihanraya kita bersih, bebas dan
adil. Dia hendak berbohong kepada dunia kononnya pilihanraya kita kotor. Inilah
satu lagi pengkhianatan kepada negara. Semata-mata kerana dengki dan niat jahat
terhadap kerajaan Barisan Nasional, dia tergamak meminta campurtangan asing
dalam hal ehwal politik negara kita.
42. Bagi kita, ini hanyalah taktik kotor orang yang bermimpi untuk
menawan Putrajaya, awal-awal lagi mengatakan pilihanraya di negara kita tidak
adil. Barangkali dia pun sudah tahu bahawa pembangkang akan kalah dalam
pilihanraya nanti. Jadi, lebih baik dibuat propaganda awal bahawa pilihanraya
negara kita tidak adil, supaya apabila mereka kalah dalam pilihanraya,
senanglah untuk mereka menuduh bahawa kita tidak berlaku adil kepada mereka.
Senang jugalah untuk mereka berhimpun di jalan-jalan raya bagi menolak
keputusan yang telah dibuat oleh rakyat.
43. Kita fikir lebih baik Ketua Pembangkang menjemput wakil negara
asing untuk memerhati pemilihan PKR. Kita hendak tengok apa komen pemerhati
asing mengenai PKR. Bersihkah pemilihan PKR? Bebaskah pemilihan PKR? Adilkah
pemilihan PKR? Demokratikkah PKR apabila Ketua Pembangkang mengangkat dirinya
sendiri menjadi Ketua Umum parti tanpa melalui proses pemilihan? Malah jawatan
itu pun tidak ada dalam Perlembagaan parti. Apakah sah kedudukan Ketua
Pembangkang dalam partinya sendiri? Perkara seumpama itu hanya boleh berlaku
dalam sebuah parti yang dikuasai oleh seorang diktator, bukan sebuah parti yang
mengamalkan demokrasi. Daripada Ketua Umum, Presiden, Timbalan Presiden, Naib
Presiden, parti itu ibarat Parti Keluarga dan Rakan-Rakan (PKR).
44. Kesemua ini tidak membayangkan mereka komited untuk
melaksanakan janji demokrasi. Sudahlah komitmen kepada Islam semakin luntur,
komitmen kepada demokrasi pun tidak ada. Bagi kita, parti-parti pembangkang
tidak ada keabsahan moral untuk bercakap mengenai Islam atau demokrasi.
45. Demokrasi yang sebenar terlaksana apabila kerajaan mendengar
rintihan, denyut nadi dan suara hati rakyat, apabila kerajaan melaksanakan
dasar yang memenuhi aspirasi rakyat, apabila kerajaan membela nasib rakyat,
apabila kerajaan menghapuskan ketidakadilan sosial yang mengancam perpaduan
rakyat. Tiada maknanya demokrasi jika masih ada rakyat hidup melarat. Matlamat
demokrasi tercapai apabila setiap rakyat dapat mengecap kehidupan yang
sejahtera dalam negara yang makmur. Inilah yang diperjuangkan oleh UMNO untuk
bangsa Melayu dan seluruh rakyat Malaysia.
JAMINAN UMNO UNTUK BANGSA MELAYU
Saudara-saudari,
46. UMNO terus komited untuk membela bangsa Melayu. Usaha-usaha
untuk meningkatkan taraf sosio-ekonomi orang Melayu diteruskan melalui
insiatif-inisiatif yang diputuskan oleh Majlis Tertinggi Agenda Bumiputera yang
dipengerusikan sendiri oleh YAB Perdana Menteri. Usahawan-usahawan Melayu dan
Bumiputera akan terus diberikan peluang untuk mendapat manfaat limpahan ekonomi
yang sedang pesat berkembang. Hari ini, dengan pelbagai inisiatif yang diambil
oleh kerajaan menerusi agensi-agensi yang diwujudkan untuk memperkasa agenda
Bumiputera, pegangan ekuiti Bumiputera telah meningkat dari 2 peratus pada
tahun 1970 kepada 23.09 peratus pada tahun 2010, dengan nilai sebanyak 167.7
bilion ringgit. Ini adalah satu pencapaian yang menakjubkan bagi parti kita dan
bangsa kita. InsyaAllah, dengan pelbagai usaha yang sedang dilaksanakan pada
waktu ini, kita akan berjaya mencapai sasaran 30 peratus pemilikan ekuiti
Bumiputera menjelang tahun 2020.
47. Begitu juga dengan perjuangan Islam. UMNO tidak pernah
menggadai prinsip perjuangan Islam, malah sentiasa berusaha untuk memartabat
dan meningkatkan syiar Islam. Sistem pendidikan Islam kita martabatkan, sistem
undang-undang Islam kita pertahankan, sistem ekonomi Islam kita majukan. Hari
ini dunia melihat Malaysia sebagai contoh negara Islam yang terbaik. Dengan
kedudukan negara kita yang agak lebih ke hadapan berbanding negara-negara Islam
yang lain, kita dapat pula membantu saudara Islam kita di seluruh dunia. Kita
telah membantu saudara kita di Bosnia, di Gaza, di Myanmar dan di mana sahaja
mereka memerlukan bantuan kita. Alhamdulillah, berkat kebijksanaan pimpinan
negara kita, Malaysia baru sahaja membantu menyelesaikan konflik Bangsamoro di
Filipina. Semua ini adalah hasil perjuangan UMNO untuk memartabatkan Islam.
48. Sepanjang 66 tahun UMNO memperjuangkan Melayu dan Islam, UMNO
tidak pernah menganiaya mana-mana kaum. Inilah keadilan UMNO. Inilah
kesaksamaan UMNO. Pejuang UMNO tidak perlu merasa berdosa dan bersalah berada
di atas landasan perjuangan UMNO. UMNO berjanji untuk terus membela bangsa
Melayu dan rakyat Malaysia seluruhnya. Justeru, UMNO akan terus mengangkat
suara Melayu di samping tidak melupai agihan keadilan untuk kaum-kaum lain
seperti yang dituntut oleh agama. Firman Allah s.w.t. dalam al-Qur’an:
يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُونُواْ قَوَّٲمِينَ لِلَّهِ شُہَدَآءَ بِٱلۡقِسۡطِۖ وَلَا يَجۡرِمَنَّڪُمۡ شَنَـَٔانُ قَوۡمٍ عَلَىٰٓ أَلَّا تَعۡدِلُواْۚ ٱعۡدِلُواْ هُوَ أَقۡرَبُ لِلتَّقۡوَىٰۖ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَۚ إِنَّ ٱللَّهَ خَبِيرُۢ بِمَا تَعۡمَلُونَ
Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa
menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan
kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu
mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil
(kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan
bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam
akan apa yang kamu lakukan.
(Surah Al Ma’idah, Ayat 8)
49. Saudara dan saudari yang berada di dalam Dewan Merdeka ini,
dan juga yang sedang mengikuti ucapan saya di kaca-kaca televisyen, atau di
corong-corong radio di luar sana, pak-pak haji yang baru pulang dari masjid,
ibu-ibu yang sedang melayani anak-anak di rumah, pemandu-pemandu teksi yang
sedang mencari rezeki di kota, para pekerja yang sedang berbakti kepada negara,
para anggota keselamatan yang sedang menjaga keamanan kita, mahasiswa yang
sedang mentelaah pelajaran di universiti, pemuda-pemuda yang sedang merenung
masa hadapan, inilah komitmen UMNO dan Barisan Nasional, inilah janji UMNO dan
Barisan Nasional. Kita sentiasa berusaha untuk mentransformasi negara, dan
mensejahterakan rakyat tanpa perlu menggadai prinsip perjuangan yang murni.
Inilah bezanya antara kita dan pembangkang. Tatkala pembangkang semakin
terdesak untuk meraih undi dan merebut kuasa, mereka sanggup melakukan apa
sahaja, termasuk menggadai prinsip moral, maruah bangsa dan kesucian agama.
50. Renungkanlah saudara dan saudari. Tilik betul-betul apa yang
dijaja oleh pembangkang dan apa yang dikota oleh UMNO dan Barisan Nasional.
Walaupun pembangkang mempamerkan kepada kita bahawa merekalah yang akan membawa
sinar kesejahteraan kepada rakyat, janganlah kita terpedaya. Sinar yang mereka
janjikan itu ibarat kilauan sekeping kaca yang hanya menanti saat retak dan
pecah berderai. Kita pasti rakyat yang matang lagi bijaksana dapat membezakan
antara kepalsuan kaca dan ketulenan permata.
BERSAMA MELAKAR KEMENANGAN
Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,
51. Kita sedang berada di tengah pertarungan politik yang akan
menentukan survival parti, masa depan bangsa dan kedudukan negara.
Saudara-saudari yang berhimpun ini adalah lambang kekuatan perjuangan di
tengah-tengah pertarungan ini. Dalam pusingan terakhir persiapan menghadapi
pilihanraya, saudara-saudari di negeri, bahagian dan cawangan telah bekerja
kuat untuk memastikan kemenangan UMNO dan Barisan Nasional dalam pilihanraya
nanti. Sebagai Timbalan Presiden dan Pengarah Pilihanraya, saya amat menghargai
kegigihan, kesungguhan dan pengorbanan saudara-saudari mencurahkan bakti kepada
parti tanpa mengenal penat lelah. Percayalah, segala usaha yang dicurahkan oleh
saudara-saudari, segala keringat yang menitis ke bumi, akan menyumbang kepada
kemenangan UMNO dan Barisan Nasional. InsyaAllah.
52. Pertingkatkan gerakerja bagi memenangi pilihanraya. Sebagai
barisan hadapan jentera parti, Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri adalah
pasukan tahan lasak parti. Bergeraklah ke serata pelusuk desa dan kota,
harungilah lembah, sungai dan denai, dari Kangar hingga ke Semporna, julanglah
panji perjuangan, insyaAllah kita akan mengarak obor kemenangan.
53. Gerakkan jentera di setiap peringkat. Pastikan mereka bersedia
turun ke medan perang apabila semboyan dibunyikan. Atur strategi berkesan untuk
menangi hati pengundi. Pujuklah mereka dengan penuh hikmah. Mudah-mudahan
dengan izin Allah s.w.t., pintu-pintu hati mereka akan terbuka luas untuk
menyokong UMNO dan Barisan Nasional.
54. Ingatlah, bahawa perpaduan dalam parti adalah kunci utama
kemenangan kita. Apabila kita memilih untuk berada di atas landasan perjuangan
UMNO, kita bukan bekerja untuk diri kita, tetapi berjuang untuk agama, bangsa
dan negara. Perjuangan ini tidak boleh kita lakukan secara bersendirian. Kita
memerlukan sokongan dan dokongan rakan-rakan seperjuangan. Bekerjalah dalam
semangat kesatuan hati (wahdatul qalb), kesatuan fikiran (wahdatul fikr),
kesatuan matlamat (wahdatul hadaf) dan kesatuan amal (wahdatul amal) untuk
meneruskan agenda perjuangan parti yang suci.
55. Yakinlah bahawa kita berada di pihak yang benar. Matlamat UMNO
mempertahankan Islam, membela nasib bangsa Melayu, memelihara kedaulatan negara
dan mensejahterakan rakyat tanpa mengira kaum dan agama adalah perjuangan suci
yang kita galas hingga ke saat ini. Dengan asakan pelbagai dakyah songsang yang
merungkai asas-asas agama, yang mencabar maruah bangsa, yang mengancam
kedaulatan negara, maka landasan perjuangan suci UMNO mesti kita perkukuhkan.
56. UMNO di bawah kepimpinan YAB Presiden selaku Perdana Menteri
sedang menerajui transformasi yang besar untuk negara kita. UMNO telah merasai
denyut nadi rakyat. Menerusi program transformasi kerajaan, ekonomi dan
politik, sentuhan pembaharuan UMNO sedang dirasai oleh segenap lapisan
masyarakat. Baik petani, nelayan dan pekebun kecil di desa, pemandu teksi dan
peniaga di kota, golongan pekerja, profesional dan penjawat awam, kesatuan
sekerja dan pertubuhan bukan kerajaan, remaja, belia dan mahasiswa, malahan
golongan gelandangan dan kurang bernasib baik, semuanya sedang merasai sentuhan
UMNO.
57. Kita akur bahawa transformasi adalah satu proses yang
berterusan. Kita tahu bahawa masih banyak rintangan dan cabaran yang menanti.
Walau apapun, demi menjamin masa depan Malaysia yang lebih makmur dan
sejahtera, marilah kita redah segala rintangan, kita harungi segala dugaan,
kita atasi segala cabaran. Marilah kita berikan sokongan yang tidak berbelah
bahagi kepada YAB Presiden untuk memimpin parti dan negara. Marilah kita
berikan sepenuh ketaatan kepada khalifah yang akan memimpin bala tentera kita.
Firman Allah s.w.t dalam al-Qur’an al-karim:
أَطِيعُواْ ٱللَّهَ وَأَطِيعُواْ ٱلرَّسُولَ وَأُوْلِى ٱلۡأَمۡرِ مِنكُمۡۖ
Taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan
kepada “Ulil-Amri” (yakni orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu.
(Surah Al-Nisa’, Ayat 56)
58. Kepada Wanita, teruskanlah, perhebatkanlah, semarakkanlah
perjuangan menjalin rantaian sokongan. Sebarkanlah kasih sayang UMNO melalui
Jalinan Rakyat, Skuad Sayang dan Salam Sayang. Maralah dengan merah yang
menyala, tiuplah ia hingga menjadi obor yang menerangi jalan-jalan kemenangan.
Wanita UMNO, engkaulah ibu, engkaulah pembimbing, engkaulah srikandi.
59. Kepada Pemuda, saudara-saudara lah hulubalang benteng hadapan
yang akan mempertahankan Putrajaya. Gempurlah musuh kita. Pantang anak muda
menyerah. Jangan biarkan walau setapak mereka melangkah. Turunilah ke setiap
kota, desa dan lurah. Dekatilah generasi muda dengan hikmah.Berjuanglah dengan
tabah. Adat bertarung menjunjung maruah. Membujur lalu melintang patah.
60. Kepada Puteri, permata yang bergemerlapan, sinarilah generasi
muda dengan harapan dan keyakinan. Andalah yang memahami suara hati mereka.
Rasailah denyut nadi mereka. Menangilah hati mereka. Bawalah mereka bersama
kita dalam perjuangan murni melakari masa depan nusa dan bangsa.
61. Kita tidak gentar menghadapi cabaran zaman. Perteguhkanlah
pendirian kita. Perkukuhkanlah tekad kita. Pertingkatkanlah kebijakasanaan
kita. Kita mengajak rakyat tanpa mengira kaum dan agama, agar bersama-sama kita
mempertahankan benteng negara daripada ditembusi oleh ideologi songsang, dakyah
politik jahat dan budaya sesat yang dibawa oleh pembangkang. Marilah
bersama-sama kita mendaulatkan maruah agama, bangsa dan negara. Marilah kita
berdoa ke hadrat Allah s.w.t. agar kita diberikan kekuatan untuk menghadapi
mihnah dan fitnah zaman. Marilah kita memohon pedoman dari Allah s.w.t. agar
ditetapkan hati-hati kita untuk terus berada di landasan perjuangan yang suci
ini. Marilah kita memohon hidayah dari Allah s.w.t. agar dilembutkan hati-hati
kita untuk menerima seruan persaudaraan dan perpaduan. InsyaAllah pertolongan
Allah sentiasa bersama orang-orang yang berjuang di jalanNya. Firman Allah
s.w.t. dalam surah Muhammad, Ayat 7:
يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ إِن تَنصُرُواْ ٱللَّهَ يَنصُرۡكُمۡ وَيُثَبِّتۡ أَقۡدَامَكُمۡ
Yang bermaksud:
Wahai orang-orang yang beriman, jika kamu membela (agama) Allah
nescaya Allah membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak
pendirian kamu.
62. Pemuda adalah hulubalang UMNO, Wanita adalah srikandi UMNO,
Puteri adalah permata UMNO. Ayuhlah hulubalang UMNO! Ayuhlah srikandi UMNO!
Ayuhlah permata UMNO! Rapatkanlah saf perjuangan kita. Berjuanglah dengan penuh
ikhlas dan yakin membela agama, bangsa dan negara. Bangkitlah menjulang panji
perjuangan. Maralah ke medan perang. InsyaAllah, berkat kesungguhan kita
berjuang, berkat kebijaksanaan rakyat membuat pilihan, UMNO dan Barisan
Nasional akan melakar kemenangan! Marilah kita sama-sama menadah tangan
merafakkan doa:
Bismillahirrahmanirrahim.
Ya Allah!
Jadikanlah perhimpunan ini perhimpunan yang dirahmati
Janganlah engkau leraikan hati kami dari mentaatiMu
Satukanlah hati-hati kami di jalanMu
Ya Allah Ya Tuhan Kami!
Terimalah doa kesejahteraan buat sekalian kami
Jauhkanlah hati kami daripada menjahanamkan sesama sendiri
Kembalikanlah mereka yang tersasar ke jalanMu yang diredhai
Ya Allah
Bimbinglah kami di jalan yang lurus
Redhakanlah jalan perjuangan kami
Tetapkanlah kami di jalanMu Ya Allah
Ya Allah
Engkaulah Tuhan Rabbul Jalil
Engkau kurniakanlah ketabahan di setiap hati kami
Engkau kurniakanlah kekuatan di jiwa kami
Engkau perteguhkanlah daya juang kami
Dengan rahmatmu Ya Allah
Engkau kurniakanlah kemenangan buat kami
fai’za ‘azamta fatawakkal ‘alallah
Hidup UMNO! Hidup UMNO! Hidup UMNO!
Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar! Walillahilhamd.
Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim saya dengan sukacitanya
merasmikan Persidangan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO 2012.
Wabillahi al-taufiq wal hidayah wassalamu’alaikum warahmatullahi
wa barakatuh.